Bekas pengarah didakwa buat tuntutan palsu RM47,800

JOHOR BAHRU – Seorang bekas Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional negeri Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan membuat tuduhan palsu membabitkan jumlah RM47,800, lima tahun lalu.

Tertuduh, Rajali Mudin, 56, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ketiga, Rajali didakwa menggunakan dokumen mempunyai butiran matan palsu berjumlah RM35,400 berkaitan aktiviti jabatan yang tidak wujud melalui sebuah syarikat untuk memperdayakan prinsipal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Negeri Johor pada November 2015.

Bagi pertuduhan keempat, Rajali didakwa membuat kesalahan sama membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM12,400 melalui sebuah syarikat berlainan antara November hingga Disember 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam bela, Iskandar Shah Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 12 Oktober sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE

The post Bekas pengarah didakwa buat tuntutan palsu RM47,800 appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *