Bayern gergasi baharu Eropah

LISBON – Ketua jurulatih Bayern Munich, Hans-Dieter Flick menganggap, kejayaan membantu pasukan itu menjuarai trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam dengan menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 1-0 pada aksi final awal pagi semalam umpama mimpi yang luar biasa.

Sebagai rekod, Flick menjadi ‘bidan terjun’ selepas dilantik oleh kelab The Bavarians itu menggantikan tempat bekas pengendali, Niko Kovac yang dipecat ekoran prestasi hambar dipamerkan pada awal saingan musim lalu.

Namun, pengendali berusia 55 tahun itu masih berjaya mencetuskan impak luar biasa apabila berjaya membantu Bayern menjulang kejuaraan trebel buat kali kedua sejak 2013 dengan memenangi Bundesliga, Piala DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara.

“Saya sangat berbangga melihat prestasi pasukan sekarang selepas dikritik hebat awal musim ini dengan laporan-laporan media mengatakan Bayern bukan lagi pasukan gergasi.

“Namun, kami telah membuktikan ramalan mereka adalah salah dengan menjuarai gelaran trebel tahun ini termasuk memenangi aksi final Liga Juara-Juara ke atas PSG.

“Secara jujur, ia bukanlah aksi yang mudah tetapi saya rasa kami layak untuk menang berdasarkan komitmen semua pemain dari aspek pertahanan dan serangan,” katanya.

Bayern ditabalkan sebagai pemenang Liga Juara-Juara hasil gol tunggal daripada Kingsley Coman pada minit ke-59 dalam aksi final di Stadium Da Luz itu.

Mengulas lanjut, Flick turut mengesahkan pemain tengah berpengaruh, Thiago Alcantara mahu kekal bersama Bayern sehingga kontraknya tamat tahun depan.

“Dia telah memberi pengesahan secara lisan kepada saya untuk kekal di sini. Namun, segala-galanya hanya dapat disahkan dalam masa terdekat,” jelasnya. – AGENSI

The post Bayern gergasi baharu Eropah appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *