Banci 2020 secara bersemuka di Sabah ditangguhkan

PUTRAJAYA – Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) Fasa Kedua secara bersemuka di seluruh negeri Sabah ditangguhkan berkuat kuasa 3 Oktober hingga 16 Oktober depan susulan pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di negeri terbabit yang berkuat kuasa bagi tempoh sama.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, latihan bagi pembanci di Sabah yang dijadualkan bermula hari ini hingga 5 Oktober depan turut dihentikan berkuat kuasa serta merta.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 turut memaklumkan bahawa, penyelia dan pembanci yang telah dilantik di Sabah tidak perlu hadir bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah.

“Banci 2020 iaitu pengumpulan data secara bersemuka akan dilaksanakan bermula pada 7 hingga 24 Oktober depan namun ditangguhkan sususlan pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di Sabah yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara hari ini.

“Penyesuaian semula pelaksanaan Banci 2020 Fasa Kedua di Sabah akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Uzir berkata, pelaksanaan Banci 2020 di negeri-negeri lain diteruskan mengikut prosedur operasi standard dan tertakluk kepada pemakluman dari semasa ke semasa.

Untuk keterangan lanjut berkenaan operasi pembancian di Negeri Sabah, sila hubungi hotline Banci 2020 (1-800-88-7720), DOSM Negeri Sabah (1-800-22-0041) atau e-mel ke helpdesk.banci@dosm.gov.my. – K! ONLINE

The post Banci 2020 secara bersemuka di Sabah ditangguhkan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *