Arul sedia pertimbang serap pemain gugur ke dalam skuad kebangsaan

NAMPAKNYA masih ada sinar buat pemain hoki negara yang digugurkan ketika era Roelant Oltmans apabila ketua jurulatih baharu, Arul Selvaraj sedia membuka pintu buat mereka.

Arul yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan baharu awal bulan ini menyuarakan beliau terbuka untuk bertemu serta berbincang dengan pemain-pemain tersebut.

Paling mencuri perhatian adalah pengguguran dua bintang hoki negara yang juga pasangan adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari pada Februari lalu sehingga mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat sukan hoki Malaysia.

Bagaimanapun, peluang mereka untuk membarisi skuad Malaysian Tigers kembali terbuka apabila Arul sedia memanggil mana-mana pemain yang boleh menunjukkan komitmen serta prestasi memuaskan.

“Saya akan teliti kenapa pemain-pemain tersebut digugurkan. Mungkin saya akan cari ruang untuk duduk semeja serta berbincang dengan mereka selepas ini.

“Pada perjumpaan itu nanti, saya akan tanya sama ada mereka masih ada keinginan ataupun tidak untuk menyarung jersi pasukan negara. Saya juga ingin tahu apa sasaran yang ingin mereka capai,” kata Arul.

Jelas bekas pengendali pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu, beliau perlu tahu keadaan sebenar berhubung pengguguran pemain-pemain tersebut sebelum melakukan sebarang keputusan.

“Saya perlu tahu apa punca mereka digugurkan sebelum ini. Jika digugurkan atas alasan prestasi tidak memuaskan, agak sukar untuk buat keputusan memanggil balik.

“Perbincangan tersebut amat diperlukan kerana saya perlu tahu apa keinginan mereka. Bagaimanapun, jika sekadar ada keinginan tetapi prestasi tidak memuaskan, terpaksa kita ketepikan,” ujarnya. K! ONLINE

The post Arul sedia pertimbang serap pemain gugur ke dalam skuad kebangsaan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *