Arahan tutup 44 kariah masjid, surau di 3 daerah

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah mengarahkan penutupan masjid dan surau di 44 kariah di Kuala Muda, Kulim dan Baling berkuat kuasa serta merta susulan penularan wabak Covid-19.

Pengarahnya, Mohd. Yusri Md. Daud berkata, arahan tersebut dilaksanakan sebagai pelengkap kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Isu Covid-19 Negeri Kedah pada 16 Ogos lepas.

Kata beliau, perintah tersebut melibatkan 32 kariah di Kuala Muda, enam kariah masing-masing di Kulim dan Baling yang berisiko penularan jangkitan tersebut.

“Susulan itu, solat Jumaat yang diadakan di masjid dalam kariah yang terlibat turut tidak dibenarkan dan digantikan dengan solat Zohor.

“Bagaimanapun, kebenaran solat fardu berjemaah di masjid dan surau tersebut hanya melibatkan tiga individu sahaja membabitkan imam, pegawai masjid serta jawatan kuasa kariah, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu, kuliah dan kelas pengajian serta majlis bacaan Yassin turut dilarang.

“Majlis akad nikah di masjid atau surau yang terlibat juga tidak dibenarkan selain pengurusan solat jenazah hanya dibenarkan dilaksanakan di rumah dengan kehadiran pegawai masjid dan ahli keluarga terdekat,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, kesemua masjid dan surau di 46 kariah dalam daerah Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Baling yang ditutup sebelum ini dibenarkan beroperasi semula. – K! ONLINE

The post Arahan tutup 44 kariah masjid, surau di 3 daerah appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *