APMM tahan dua bot nelayan Vietnam di perairan Kemaman

Oleh NIK NUR IZZATI HAZWANI NIK ADNAN

KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua lagi bot nelayan Vietnam yang disyaki menangkap ikan di perairan Kemaman dekat sini semalam.

Kedua-dua bot itu masing-masing ditahan kapal peronda APMM pada pukul 11.30 pagi dan 11.50 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, sewaktu ditahan, nelayan dua bot tersebut sedang leka menangkap ikan pada kedudukan 98 batu nautika dari perairan Kemaman dekat sini.

“Mereka yang panik melihat kehadiran kapal peronda APMM bertindak memotong tali pukat masing-masing dan bertindak cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun kedua-dua bot nelayan Vietnam itu berjaya ditahan oleh kapal peronda APMM tidak lama kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, APMM juga merampas ikan pelbagai jenis seberat empat tan, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Menurut beliau, seramai 27 nelayan Vietnam yang berusia 16 hingga 52 tahun juga telah ditahan setelah didapati tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

“Mereka disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. – K! ONLINE

The post APMM tahan dua bot nelayan Vietnam di perairan Kemaman appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *