APMM Sabah dan Labuan rampas rokok seludup bernilai 2.6 juta

Oleh Ivan Amirul

KOTA KINABALU – Aktiviti cubaan menyeludup rokok bernilai RM2.6 juta berjaya dipatahkan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan di perairan Pulau Usukan, Kota Belud Isnin lalu.

Semua rokok berkenaan dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini menggunakan sebuah bot kargo dalam kejadian sekitar pukul 11 malam itu.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd. Rosli Abdullah berkata, bot kargo terbabit didapati membawa sebanyak 650,000 kotak kecil rokok putih dipercayai dari negara jiran, Vietnam bagi pasaran Miri, Sarawak dan Balik Papan, Indonesia.

“Kita menerima maklumat ada sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum penahanan dibuat.

“Bot kargo terbabit ditahan pada kedudukan 24 batu nautika barat laut Pulau Usukan dan hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan seorang tekong bersama empat kru warga India selain dua kru warga tempatan berusia dalam lingkungan 24 hingga 50 tahun, ” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.

Mohd Rosli berkata, siasatan awal mendapati rokok berkenaan cuba dihantar ke dua lokasi berasingan namun dalam masa sama pelayaran bot itu agak mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas dokumen pelayaran bot didapati turut meragukan dan tiada rekod senarai kru selain pelepasan pelabuhan juga sudah tamat tempoh.

“Semua individu terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

“Denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda amaun duti kastam atau RM5,000 yang mana satu amaun yang lebih dan tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 yang mana satu amaun yang lebih besar atau dipenjarakan selama tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah, ” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, bot dan kru seterusnya diiring balik ke Jeti Maritim Sepanggar bagi siasatan lanjut.

Beliau katanya, semua individu yang ditahan juga diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 yang dijalankan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). K! ONLINE

The post APMM Sabah dan Labuan rampas rokok seludup bernilai 2.6 juta appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *