Annuar Musa diperintah pengawasan Covid-19

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa telah menerima perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan Covid-19 dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan diperintah menjalani pengawasan berikutan kontak rapat Ahli Majlis Tertinggi (MKT), Datuk Razlan Rafii yang kini disahkan positif Covid-19.

“Dengan perintah ini, saya dikehendaki menjalani kuarantin di kediaman di Kota Kinabalu bagi tempoh tertentu.

“Untuk makluman, dua hari lepas saya telah jalani ujian RT-PCR Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan negatif.

“Hari ini saya jalani satu lagi ujian oleh Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu dan keputusan dijangka diperolehi sehari dua lagi,” ujarnya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu jelasnya, dia terpaksa membatalkan semua jadual termasuk ceramah perdana bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini dan lawatan ke Pitas serta Kota Belud esok.

Namun jelasnya, dia akan terus bertugas dari kediaman dan berkomunikasi seperti biasa dengan semua peringkat jentera.

“Saya pohon maaf atas sebarang kesulitan berbangkit. Saya menyeru agar semua jentera BN dan GRS terus berjuang habis-habisan 48 jam terakhir ini dan terus mengajak rakyat Sabah supaya ubah balik, tolak Warisan agar rakyat dan bumi Sabah terbela sepenuhnya,” tegasnya. – K! ONLINE.

The post Annuar Musa diperintah pengawasan Covid-19 appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *