
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok terus mempersoal sama ada ahli keluarga Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan anggota agensi kerajaan yang menyertai kunjungan menteri Pas itu ke Turki menjalani prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Saya difahamkan lawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ke Turki juga diiringi oleh ahli keluarga dan anggota agensi kerajaan.
“Apakah mereka juga menjalani kuarantin selama 14 hari mengikut SOP kerajaan?” soalnya.
Teresa juga berpendapat sikap Khairuddin yang tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki akan menyebabkan penularan dengan terbentuknya kluster baharu sekiranya dijangkiti Covid-19.
“Sekiranya beliau (Khairuddin) dijangkiti penyakit Covid-19 dari Turki, maka beliau berkemungkinan menyebarkan koronavirus ini kepada beribu-ribu orang sehingga mungkin wujudnya ‘Kluster Khairuddin Takiri’ di Malaysia,” katanya.
Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dikecam orang ramai ketika rakyat biasa didakwa di mahkamah kerana ingkar SOP.