AADK tahan wanita OKU

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

YAN – Seorang ibu tunggal yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) ditahan dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di rumahnya di Simpang Tiga Sungai Daun di sini hari ini.

Wanita berusia 32 tahun yang kudung tangan kiri itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Operasi yang bermula pada pukul 10 malam semalam hingga 3 pagi ini membabitkan 10 penguat kuasa AADK turut menahan tujuh lagi individu disyaki penagih dadah.

Kawasan operasi melibatkan Simpang Tiga Sungai Daun, Kampung Permatang Keramat, Kampung Dulang Besar, Kampung Kuala Sungai Limau Dalam, Kampung Alor Pinggu, Kampung Simpang Tiga Sungai Limau Dalam, Taman Setia Jaya dan kampung Teluk Mat Acheh.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, wanita OKU itu ditahan ketika dia sedang berehat di rumahnya di Batu 14 1/2 Simpang Tiga Sungai Daun.

“Hasil saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis opiat dan methamphetamine,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, hasil soal siasat mendapati ibu kepada enam orang anak berusia empat hingga 14 tahun itu telah mengambil dadah sejak berusia 15 tahun.

“Ibu tunggal ini menyara keluarga sebagai pengutip dana tahfiz selepas suaminya meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru, lima tahun lalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kesemua lapan suspek yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine dengan kes disiasat mengikut seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya.- K! ONLINE.

The post AADK tahan wanita OKU appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *