80 penjaja tidak berlesen diminta sertai program penyusunan semula

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meminta lebih 80 penjaja dan peniaga kecil tidak berlesen di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh menyertai program penyusunan semula golongan itu pada esok dan Ahad ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, objektif program yang dilaksanakan di Dewan Meranti kawasan itu bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk memiliki lesen secara sah.

“Jabatan Pelesenan MBSA akan membuka kaunter yang menawarkan permit sementara manakala Jabatan Bangunan memberi penerangan cara memohon tambahan struktur premis perniagaan.

“Semua pemohon lesen dalam program itu akan dikenakan harga lebih murah berbanding biasa dan mereka boleh terus memohon kebenaran melalui kaunter yang disediakan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang itu turut mendapat kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

“Wakil Jabatan Perancangan MBSA juga akan turut memberi penerangan berhubung aspek kebenaran merancang manakala Jabatan Kesihatan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pendedahan pemilik Hot Burger, Asri Janggut mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis bersikap ‘pilih kasih’ terhadap peniaga-peniaga di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh mengejutkan pelbagai pihak.

Susulan itu, satu operasi bersepadu melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor dijalankan kelmarin bagi ‘membersihkan’ kawasan tersebut.

MBSA menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup, di kawasan itu.

Sebanyak 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin turut dikeluarkan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. -K!ONLINE

The post 80 penjaja tidak berlesen diminta sertai program penyusunan semula appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *