720 kilogram ayam beku seludup dirampas

Oleh YATIMIN ABDULLAH

RANTAU PANJANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 720 kilogram (kg) keratan ayam beku bernilai RM6,000 dari negara jiran di Meranti di sini semalam.

Rampasan dijalankan pada pukul 3.30 pagi ketika anggota Aksem menahan sebuah kereta jenis Proton Waja sewaktu melakukan rondaan di sekitar kawasan itu.

Kesemua barangan rampasan itu diserahkan kepada pihak Maqis untuk siasatan lanjut.

Pengarah Maqis Kelantan, Mohd. Azam Yahya berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk kereta dianggarkan berjumlah RM15,000.

“Kita melakukan pemeriksaan terhadap 60 buah kotak sebelum keratan ayam beku seberat 720 kg sebaik sahaja menerima serahan rampasan daripada Aksem.

“Kesemua rampasan ini dibawa masuk tanpa permit yang sah oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan dibawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)

Selain rampasan tersebut, Maqis turut menerima keratan ayam beku seberat 684 kg bernilai RM5,700 yang dirampas pihak polis.

Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Persona yang digunakan untuk menyeludup barangan tersebut. – K! ONLINE

The post 720 kilogram ayam beku seludup dirampas appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *