65 peratus bilik hotel dan inap desa Terengganu dipenuhi pelancong

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Industri pelancongan Terengganu terus menunjukkan pemulihan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu dengan menjadi antara tumpuan utama pelancong domestik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kadar penginapan hotel dan inap desa berdaftar di negeri tersebut pada bulan Ogos lalu adalah kedua tertinggi di negara ini selepas Pahang.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia, kadar penginapan hotel dan inap desa di Terengganu adalah 65 peratus.

“Ia meletakkan negeri ini kedua paling ramai pelancong menginap di hotel dan inap desa berdaftar selepas Pahang yang berada pada kadar 75 peratus,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Dungun Escapade Resort, Pulau Serai di sini hari ini.

Ariffin berkata, Terengganu mempunyai 10,736 bilik penginapan daripada 244 hotel dan inap desa berdaftar di seluruh negeri tersebut.

Sehubungan itu, beliau optimis negeri Pantai Timur berkenaan mampu menarik sekurang-kurangnya kehadiran lima juta pelancong menjelang hujung tahun ini.

“Sambutan memberangsangkan daripada pelancong domestik sejak PKPP ini terutama di rangkaian pulau peranginan telah menyakinkan kita mampu mengatasi sasaran awal iaitu 4.5 juta. – K! ONLINE

The post 65 peratus bilik hotel dan inap desa Terengganu dipenuhi pelancong appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *