6 lelaki tular merusuh didenda RM1,300

KUALA LUMPUR – Enam lelaki yang tular dalam laman sosial kerana merusuh mengenai pemasangan paip gentian Mac lalu masing-masing didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Muhamad Fazlli Ab. Rahman, 29, Mohd. Saufyq Mohd. Nasir, 42, Rosman Basron, 45, Izanuddin Abas, 38, Muhammad Azzad Abdullah, 32 dan Hendriyanto Baslan, 32 selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mahkamah turut memerintahkan keenam-enam lelaki itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dan kesemua tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan mereka dengan niat bersama melakukan kesalahan merusuh pada pukul 3.35 petang, 1 Mac lalu di Jalan 25/56, Keramat Wangsa di sini.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd. Razif manakala keenam-enam tertuduh diwakili peguam P. Muniswer.

Sementara itu di mahkamah sama  tiga lagi yang didakwa atas pertuduhan sama, Fitrishah Akhbar Mohd. Kasim, 43, Mohd. Maliki Makhtar, 45 dan Ahmad Hasif Ahmad Amirsa, 29, mengaku tidak bersalah.

Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam Nura’ain Shahiera Khalid diikat jamin RM 4,500 dan tarikh 6 Oktober depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

Dalam kejadian 1 Mac lalu, kekecohan itu berlaku apabila seorang dari kumpulan lelaki yang juga kontraktor, didakwa mencederakan seorang daripada kumpulan peniaga kedai makanan yang mahu berunding mengenai pemasangan paip gentian yang dipasang di kawasan terbabit.

Video dan gambar insiden pergaduhan kemudian tular di laman sosial, Facebook dan aplikasi Whatsapp. – K!ONLINE

The post 6 lelaki tular merusuh didenda RM1,300 appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *