50 buah rumah dinaiki air di Nibong Tebal

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

SEBERANG PERAI – Sekurang-kurangnya 50 buah rumah di Taman Sungai Duri, Simpang Ampat, Nibong Tebal di sini dilaporkan dinaiki air sedalam kira-kira satu meter dalam kejadian banjir kilat sejak lewat petang tadi.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 7.20 petang selepas hujan lebat berterusan sejak pukul 6.30 petang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat termasuk memindahkan mangsa yang terlibat ke tempat yang lebih selamat.

“Ketika ini, mangsa yang terperangkap telah berjaya dibawa dan ditempatkan buat sementara waktu di Surau Sungai Duri Indah yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

“Ketika ini juga, paras semasa air masih belum surut disebabkan cuaca yang masih hujan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa sekiranya hujan berterusan.

Dalam pada itu difahamkan, beberapa kawasan dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS) kini mula dinaiki air termasuk di Taman Widuri, Kampung Sungai Buaya, Kampung Besar, Halaman Indah dan Taman Duri dengan purata kedalaman paras air sekitar 0.6 meter. – K! ONLINE

The post 50 buah rumah dinaiki air di Nibong Tebal appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *