33 individu ditahan kes dadah

Oleh IVAN AMIRUL

PAPAR – Seramai 33 individu berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan dalam Op Sarang Khas dijalankan sekitar daerah ini semalam.

Operasi membabitkan seramai 60 anggota dan pegawai itu dilaksanakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, IPD Beaufort dan IPD Keningau serta IPD Tuaran.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, operasi tertumpu di kawasan tumpuan aktiviti penyalahgunaan dadah yang dikenal pasti di seluruh daerah Papar.

“Seramai 70 individu diperiksa yang kemudiannya membawa kepada penahanan 33 individu melibatkan kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semua individu itu ditahan selepas didapati positif dadah dan disiasat Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Manakala tiga lagi ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut berjaya merampas kira-kira 22.10 gram dadah jenis syabu dalam operasi sama,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas hasil mengenai operasi terbabit, Batholomew berkata, hasil saringan awal mendapati semua suspek didapati positif dadah jenis syabu dan Amphetamine.

“Kejayaan operasi ini adalah salah satu usaha pihak polis dalam menangani gejala penyalahgunaan dadah khususnya di daerah Papar.

“Oleh itu, kita meminta orang awam agar sentiasa memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan dadah,” katanya. – K!ONLINE

The post 33 individu ditahan kes dadah appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *