32 sekolah jayakan kiosk cuci tangan

IPOH – Sebanyak 32 daripada 100 buah sekolah terpilih di seluruh Malaysia dipilih untuk menjayakan projek fasa pertama ‘Kiosk Cuci Tangan’ dalam usaha membantu mengawal penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) dalam kalangan warga sekolah.

Presiden Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd. Perdaus berkata, projek kiosk yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan penjagaan kesihatan.

Katanya, projek berkenaan turut akan diperluaskan ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Dalam pemilihan sekolah bagi projek ini, kriteria yang ditetapkan termasuklah sekolah yang berada dalam daerah dengan jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi serta mempunyai bilangan pelajar yang ramai.

“Kita turut melihat kelengkapan yang terdapat di sekolah tersebut. Sekiranya sudah ada kemudahan, secara umumnya kita tidak pilih. Kebanyakan sekolah yang dipilih merupakan sekolah di luar bandar atau sekolah di bandar yang memenuhi kriteria,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Handwashing Kiosk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat melancarkan kiosk cuci tangan berkenaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Kurikulum) Kementerian Pendidikan, Dr. Mohamed Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin.

Tambah Ahmad Faizal, projek berkenaan melibatkan pembinaan struktur kiosk dalam kawasan sekolah yang menempatkan sinki, paip air dan tempat sabun bagi kemudahan warga sekolah mencuci tangan.

“Setiap satu kiosk mengandungi dua hingga empat sinki yang dibina dengan anggaran kos antara RM5,000 hingga RM7,000 itu akan diletakkan berdekatan laluan masuk pelajar.

“Yayasan Maybank turut menyumbang dana dari Tabung Pandemik Covid-19 bagi menjayakan projek ini,” katanya. – K! ONLINE

The post 32 sekolah jayakan kiosk cuci tangan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *