18,401 telah pulang dan dikuarantin

KUALA LUMPUR – Seramai 18,401 individu telah ditempatkan di 68 hotel dan enam Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara selepas pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 7,965 sedang menjalani proses kuarantin wajib, 10,380 dibenarkan pulang manakala 56 lagi telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Semalam Polis Diraja Malaysia telah melakukan sebanyak 434 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua mereka didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, seramai 88 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan daripada jumlah itu, seramai 84 individu telah dikompaun, manakala empat lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan dan catitan keluar masuk (31), tidak memakai pelitup muka (15), premis beroperasi lebih masa (3), parti persendirian (32) serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (7),” jelas kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 9,760 operasi sanitasi merangkumi 134 zon telah dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

“Sebanyak 12,899 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,702 pusat perniagaan, 5,680 bangunan kerajaan, 1,595 kawasan perumahan, 2,568 tempat awam dan 354 pasar raya.

“Semalam, sebanyak 15 operasi sanitasi meliputi 13 Zon termasuk tiga Zon Kuning dan 10 Zon Hijau yang melibatkan tujuh buah negeri antaranya Sarawak, Sabah, Kedah, Terengganu, Pahang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dilakukan melibatkan 154 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta 68 agensi-agensi lain,” katanya. – K! ONLINE

The post 18,401 telah pulang dan dikuarantin appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *