15. 1 juta guna aplikasi MySejahtera

Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15.1 juta pengguna sudah mendaftar dengan aplikasi MySejahtera setakat 16 Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, aplikasi tersebut diwujudkan untuk membantu kerajaan mengesan pesakit Covid-19 melalui fungsi penilaian kesihatan kendiri.

Menurutnya, seramai 322 pesakit Covid-19 atau 3.4 peratus daripada 9,200 kes berjaya dikesan melalui aplikasi MySejahtera setakat 16 Ogos lalu.

“Pengguna perlu menjawab soalan berhubung keadaan kesihatan dan maklumat perjalanan mereka sewaktu mula-mula menggunakan aplikasi itu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Pengguna seterusnya perlu mengemaskini keadaan kesihatan dan maklumat perjalanan mereka dari semasa ke semasa untuk mengetahui risiko mereka terhadap Covid-19.

“Bagi tujuan pengesanan kontak pula, pencarian kontak secara tepat dapat dilakukan melalui MySejahtera dan jumlah kontak yang dikesan adalah bergantung kepada kes positif Covid-19,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Lee Boon Chye (PH-Gopeng) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pengguna aplikasi MySejahtera dan setakat mana aplikasi itu membantu untuk mengawal pandemik tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata keberkesanan mengesan kontak adalah bukti aplikasi MySejahtera dapat membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19.

Katanya, MySejahtera membantu mengesan kontak rapat bagi pesakit Covid-19 melalui maklumat pengimbasan kod QR premis yang dilakukan oleh pengguna aplikasi itu.- K! ONLINE

The post 15. 1 juta guna aplikasi MySejahtera appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *