13 warga asing ditahan dalam operasi APMM di perairan Perak

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 13 warga asing termasuk 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi khas di perairan selatan Perak dan Pulau Pangkor dekat sini semalam.

Dalam operasi yang turut disertai media itu, seramai lapan warga asing ditahan dalam serbuan di dua tapak sangkar ikan di perairan dekat Pulau Pangkor manakala lima lagi PATI ditahan dalam sebuah bot nelayan berhampiran gugusan Pulau Sembilan di perairan dekat Bagan Datuk.

Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman, berkata semua mereka berusia antara 23 hingga 40 tahun itu melibatkan lima orang warga Rohingya, empat warga Indonesia, tiga Nepal dan seorang Myanmar yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Seorang daripada mereka iaitu warga Indonesia yang bekerja di sangkar ikan didapati memiliki pasport yang sah tetapi tidak mempunyai permit untuk bekerja di situ,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Operasi APMM Perak, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain.

Shahrizan berkata, operasi khas itu dilakukan pada awal pagi hingga petang bagi pengoperasian pasukan Maritim Perak dalam menguatkuasakan akta-akta Persekutuan sepanjang perairan negara khususnya di negeri itu. – K! ONLINE

The post 13 warga asing ditahan dalam operasi APMM di perairan Perak appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *