10,000 penunjuk perasaan prodemokrasi berhimpun di Bangkok

BANGKOK – Demonstrasi antikerajaan di Thailand menarik penyertaan sekurang-kurangnya 10,000 orang hari ini, kata polis sekali gus tunjuk perasaan terbesar di negara berkenaan dalam tempoh beberapa tahun selepas gerakan prodemokrasi semakin mendapat sambutan.

Kumpulan-kumpulan prodemokrasi yang diketuai oleh pelajar mengadakan bantahan hampir setiap hari di seluruh Thailand sejak sebulan lalu bagi mengecam Perdana Menteri, Prayuth Chan-O-Cha dan pentadbirannya.

Menjelang petang tadi, penunjuk perasaan yang menuntut pembaharuan demokrasi, berhimpun di sebuah persimpangan sibuk di sekitar Monumen Demokrasi di Bangkok. Monumen tersebut dibina bagi memperingati revolusi 1932 yang menamatkan sistem pemerintahan beraja mutlak di Thailand.

Polis menutup jalan-jalan utama di sekitar monumen itu bagi menghalang kemasukan lalu lintas, manakala seorang pegawai Biro Polis Metropolitan Bangkok memberitahu agensi berita AFP bahawa bilangan penunjuk perasaan bertambah kepada 10,000 orang menjelang pukul 7 malam ini (waktu Malaysia).

“Jatuhkan pemerintahan diktator” kata kumpulan pelajar dengan ramai antara mereka memegang sepanduk mengkritik pentadbiran Prayuth.

Perhimpunan di Monumen Demokrasi itu adalah yang terbesar di Thailand sejak Prayuth merampas kuasa dalam tahun 2014.

Ketegangan semakin meningkat sejak dua minggu lalu dengan pihak berkuasa menangkap tiga aktivis demokrasi. Mereka dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa kerana melakukan hasutan dan melanggar undang-undang pencegahan koronavirus.

Ketiga-tiga aktivis itu diberitahu supaya tidak mengulangi kesalahan sama tetapi pemimpin pelajar utama, Parit Chiwarak dilihat tiba di lokasi tunjuk perasaan bersama penyokongnya petang tadi.

Demonstrasi di Thailand mendapat inspirasi daripada gerakan demokrasi Hong Kong. Penunjuk perasaan mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai pemimpin tertentu dan bergantung pada kempen media sosial untuk meraih sokongan penduduk di seluruh Thailand. – AFP

The post 10,000 penunjuk perasaan prodemokrasi berhimpun di Bangkok appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *