10 lorong tikus ditutup

Oleh MOHD RIFAAT ABD. HAMID

ALOR SETAR – Polis mengenal pasti sebanyak 10 lorong tikus di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Kota Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd. Noor berkata, pihaknya telah mengesan 10 laluan tikus berdasarkan pemantauan dilakukan.

Kata beliau, laluan itu dikesan terletak di beberapa kampung yang bersempadan dengan daerah Kota Setar.

“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan di laluan tersebut dan kita sekadar menasihati, memberi amaran dan mengarahkan mereka berpatah balik sahaja.

“Bagaimanapun tindakan menahan individu yang masih degil akan menyusul,” katanya di sini hari ini.

Selain itu, kata beliau, polis menutup tiga lagi jalan yang menghubungkan Kota Setar dengan Perlis dan Jitra seperti di Sungai Korok.

Beliau berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung akan menghalakan semua pengguna ke sekatan jalan raya (SJR) yang didirikan polis.

“Kita akan mengarahkan pengguna jalan raya untuk berpatah balik sekiranya tiada surat pengesahan polis,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya mendapati tahap pematuhan masyarakat adalah memuaskan iaitu kira-kira 99 peratus. – K! ONLINE

The post 10 lorong tikus ditutup appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *